Jun 8, 2012

haku redha

Bismillah
Mungkin tiada yang tahu apa yg dirasakan pada ketika itu
Mungkin juga ramai yang meneka bagaimana perasaanku pada masa itu
Boleh jadi ada juga yang merasakan mereka benar-benar tahu kerana mereka pernah melalui perkara yang sama
Hakikatnya, saya sendiri keliru dengan perasaan sendiri

Ada masa rasa lega dengan pemergiannya, pergi menemui Sang Pencipta yang Maha Mengasihi setelah sekian lama berperang dengan derita barah dan kedua belah buah pinggang yang enggan berfungsi
Jahatkah diri ini merasakan 'LEGA'??
Kepada yang melihat, mendengar dan merasai, orang-orang ini tahu betapa deritanya abah menahan sakit, tapi hingga ke saat akhirnya tidak mahu menyusahkan orang lain, semuanya ingin dilakukan dengan tangan sendiri
Memegang title ketua keluarga yang bersifat harimau, mana mungkin dia menunjukkan rasa sakitnya itu, walaupun kami semua tahu, abah :'(

Ada sedikit rasa marah
Saya tahu ini datangnya dari sifat jahil diri, yang tidak mahu berlapang dada
Sungguh, bukanku marah pada takdir Allah, tapi marah dengan sesetengah manusia yang tiada nilai sensitivity
Gahnya menceritakan bahawa mereka sebenarnya sudah tahu tanda-tanda akhir hayat arwah. Cukuplah!
Kemudian menyatakan rasa kesal berkali-kali. Cukuplah!
Apa hak kalian berkata demikian sedangkan anaknya sendiri dengan tenang pulang ke rumah yang seolah kosong, tanpa punya peluang untuk mengucup buat kali terakhir

Rasa sedih?
Biarkan saja rasa itu disimpan dalam hati, jauh sana di lubuk hati
Kerana berendam dengan kesedihan akan memakan diri
Saat dibiarkan duduk bersendirian di pusaranya setelah selesai membacakan surah Yasin, telahpun kusampaikan pelbagai emosi ini kepada abah, melalui perantaraan doa, Lillahi Taala

Hanya Allah jua yang memegang jawapan mengapa anak terakhirnya ini tidak terpilih untuk bersamanya di saat-saat akhir, bahkan tidak punya peluang untuk menatap wajahnya sebelum dikebumikan
Tapi andaian diriku ialah, mungkin suatu hari nanti DIA akan pertemukan kami di syurga Allah sana?
InsyaAllah <3